Wednesday, 5 October 2011

Kandungan Pendidikan Sivik Dan Kenegaraan

Kandungan mata pelajaran ini digubal secara tematik. Penggubalan tema ini mengambil kira struktur hubungan murid dengan persekitarannya, bermula dan diri sendiri, hubungan dengan keluarga, masyarakat sekolah, komuniti luar sekolah, negara dan cabaran masa depan murid. Dalam konteks ini, murid didedahkan dengan unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai yang menjadi ciri-ciri masyarakat Malaysia.

Tema yang ditetapkan adalah seperti berikut:

i. Sayangi Diri

Tema ini menghuraikan aspek perkembangan diri iaitu cara murid mengenal, mengurus dan mendisiplinkan diri serta mempelajari tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai kanak-kanak. Topik dalam tema ini ialah:

· Mengenali diri
· Keyakinan diri
· Pengurusan diri
· Disiplin diri
· Pengurusan masa
· Hak dan tanggungjawab kanak-kanak

ii. Sayangi Keluarga

Tema ini menghuraikan peranan dan tanggungjawab anggota keluarga dan pembinaan keluarga bahagia mengikut perspektif pelbagai agama Topik dalam tema ini ialah:

· Mengenali keluarga sendiri
· Peranan dan tanggungjawab anggota keluarga asas
· Hubungan keluarga kembangan
· Keluarga yang harmoni mengikut ajaran pelbagai agama dan kepercayaan

iii. Hidup Bersama di Sekolah dan Masyarakat

Tema ini menghuraikan aspek interaksi dan komunikasi dalam komuniti sekolah, semangat kejiranan, tanggungjawab individu terhadap alam sekitar dan peranan agensi tempatan dalam memastikan kesejahteraan
hidup bermasyarakat. Topik dalam tema ini ialah:

· Interaksi dan komunikasi dengan komuniti sekolah
· Semangat kejiranan
· Aktiviti kejiranan
· Tanggungjawab terhadap kawasan persekitaran
· Kebersihan dan keceriaan persekitaran
· Peranan agensi tempatan

iv. Kenali Budaya Malaysia

Tema ini menghuraikan kepelbagaian warisan budaya masyarakat dan tanggungjawab individu untuk mengekalkan dan menghargai warisan budaya negara. Topik dalam tema ini ialah:

· Kenali dan apresiasi kekayaan pelbagai warisan budaya Malaysia
· Kenali adab sosial warisan budaya Malaysia
· Tanggungjawab mengekalkan kepelbagaian warisan budaya Malaysia

v. Malaysia Negaraku

Tema ini menghuraikan aspek identiti negara, sistem kerajaan Malaysia kepemimpinan negara dan tanggungjawab rakyat untuk mengekalkan kemerdekaan negara. Topik dalam tema ini ialah:

· Kenali Malaysia
· Bangga dengan identiti negara
· Kenali sistem kerajaan Malaysia
· Kenali dan hormati pemimpin negara
· Hargai perjuangan tokoh-tokoh
· Tanggungjawab mengekalkan kemerdekaan

vi. Sedia Hadapi Cabaran

Tema ini menghuraikan aspek persediaan diri untuk masa depan, ciri individu terpuji dan kehidupan remaja yang sihat dan cergas. Topik dalam tema ini ialah:

· Membina budaya cemerlang untuk masa depan
· Ciri-ciri peribadi terpuji
· Remaja yang sihat dan cergas

Tema dalam mata pelajaran ini tidak terikat dengan urutan dan guru boleh menyesuaikan tema-tema ini dengan aktiviti dan isu semasa yang berlaku dalam sekolah, masyarakat atau di peringkat kebangsaan. Misalnya, tema Malaysia Negaraku boleh diajar dalam konteks sambutan bulan kemerdekaan supaya murid dapat memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai warganegara dengan lebih berkesan dan bermakna.

Sunday, 2 October 2011

Matlamat Dan Objektif Pendidikan Sivik Dan Kenegaraan

Matlamat

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bertujuan memberi kesedaran
kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam
masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara
yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan
masyarakat, negara dan dunia.


Objektif


Objektif mata pelajaran ini merangkumi tiga aspek iaitu pengetahuan
kemahiran dan nilai.


Objektif Pengetahuan :


i. Mengenal pasti tingkah laku yang boleh menyumbang terhadap
   pembangunan watak yang mulia.
ii. Menerangkan peranan dan tanggungjawab ke arah pembinaan keluarga
     yang bahagia.
iii. Menjelaskan kepentingan hidup bersama secara harmoni.
iv. Memahami pelbagai agama, tradisi dan budaya masyarakat Malaysia.
v. Menerangkan sistem kerajaan Malaysia dan sumbangan pemimpin

   negara.

vi. Mengenal pasti cabaran dan ancaman dalam masyarakat.

Objektif Kemahiran :


i.   Menguruskan diri dengan baik dan bertanggungjawab.
ii.  Mengamalkan kesederhanaan dalam tingkah laku.
iii. Berinteraksi secara sopan dengan anggota keluarga, rakan dan
     masyarakat.
iv. Menangani konflik diri, keluarga dan rakan.
v.  Belajar hidup bersama untuk kesejahteraan diri dan masyarakat.
vi. Menyertai aktiviti masyarakat untuk kebaikan bersama.
vii. Membuat keputusan yang bijak dengan mengambil kira kepentingan di
      dan orang lain.


Objektif Nilai :


i.    Mempunyai keyakinan terhadap kebolehan diri.
ii.   Menghargai sumbangan ibu bapa dan anggota keluarga.
iii.  Menghormati kaum dan budaya lain.
iv.  Menyayangi alam sekitar.
v.   Menunjukkan semangat kekitaan.
vi.  Menghormati pemimpin dan menghargai jasa mereka.
vii. Menunjukkan perasaan bangga dan cinta akan negara.

Saturday, 1 October 2011

Pergerakan Pandu Puteri

      Badan beruniform Pergerakan Pandu Puteri telah mengadakan pertandingan mereka fesyen dengan bahan-bahan buangan.  Murid-murid sebanyak 40 orang telah menyertai pertandingan ini.  Murid-murid berasa seronok dan mereka sangat kreatif  serta cuba sedaya upaya untuk mereka fesyen yang begitu unik dan berfesyen.  Melalui pertandingan ini, murid-murid telah memupuk semangat bekerjasama antara kumpulan mereka. Semoga anak murid saya akan terus berusha dan memupuk sikap sayangi bumi kita.
Juara pertandingan dari tahun 4






"Model kecil" 

Pengenalan Pendidikan Sivik Dan Kenegaraan

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan mata pelajaran yang memainkan peranan penting dalam kurikulum kebangsaan sekolah rendah bagi melahirkan murid yang dapat menunjukkan perasaan bangga dancinta akan negara. Mata pelajaran ini memberi tumpuan kepada perkembangan diri hubungan dengan orang lain dan interaksi dengan persekitaran. Mata pelajaran ini juga adalah wahana bagi mewujudkan semangat perpaduan dan apresiasi pelbagai budaya masyarakat negara ini. Kandungan mata pelajaran ini membolehkan murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik bagi menghadapi cabaran masa depan.

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan menekankan empat prinsippendidikan yang penting iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know) belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be). Belajar untuk mengetahui membolehkan murid menguasai ilmu bagi membina perasaan dan tingkah laku sivik. Belajar untuk bertindak merujuk kepada aplikasi
pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian murid yang dikembangkan menerusi aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah. Belajar untuk membentuk peribadi membolehkan murid berkembang secara menyeluruh dari segi rohani, intelek, fizikal, emosi dan sosial. Prinsip belajar untuk hidup bersama merupakan asas dalam mewujudkankeamanan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Melalui prinsip ini, perpaduan dalam keluarga, komuniti dan masyarakat pelbagai kaum dapat dipupuk.


Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah mata pelajaran teras untuk semua murid sekolah rendah Tahap II. Selaras dengan ini, pihak sekolah bertanggungjawab membina sahsiah dan potensi murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang perlu bagi murid untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab sivik. Murid juga perlu dipupuk dengan pemikiran kritis dan kreatif serta kesedaran sivik untuk melahirkan individu yang dapat memainkan peranan yang berkesan dalam keluarga dan masyarakat.